Wednesday, December 17, 2014

Ibnu Miskawayh : Aspek Pendidikan

Assalamualaikum.
salam sejahtera ^^

Kali ini saya ingin panjangkan lagi pengkajian saya tentang Ibnu Miskawayh,seorang tokoh yang hidup pada zaman abad pertengahan. Sebelum ini DISINI (bagi kursus Pengantar Falsafah) telah saya ceritakan secara umum tentang beliau. Namun, untuk penulisan ini, kajian saya lebih tertumpu kepada aspek pendidikan akhlak yang dibawa oleh beliau. Sekadar perkongsian dari kajian saya dalam kursus Falsafah Islam :)


1.         PENGENALAN
Salah satu misi utama kehidupan manusia adalah memperbaiki dan memperelokkan akhlak masing-masing kerana fitrah manusia menginginkan kesempurnaan. Seseorang yang ingin  memperoleh  kebahagiaan sejati hendaklah menjadikan akhlak sebagai landasannya dalam bertindak dan berprilaku. Oleh itu, individu yang menginginkan kesempurnaan harus melalui fasa pendidikan akhlak.
Pendidikan merupakan satu wadah yang cukup penting bagi menyeru akan perubahan dalam setiap diri individu dan melahirkan insan yang sempurna dalam setiap aspek kehidupan. Secara amnya, pendidikan merupakan satu proses perubahan sikap dan tingkah laku seseorang dalam usaha mendewasakan manusia melalui pembelajaran, latihan, cara, dan mendidik.
            Dalam penulisan ini menyentuh tentang falsafah akhlak yang dibawa oleh tokoh falsafah islam yang terkenal pada zaman abad pertengahan iaitu Ibnu Miskawayh melalui aspek pendidikan. Sungguh pun beliau tidak menyebut perihal aspek pendidikan secara jelas dan terperinci namun kita boleh ringkaskan bahawa bermula dan berkembangnya akhlak seseorang adalah hasil daripada pendidikan. Pendidikan yang sempurna dan dinamik akan menghasilkan individu akhlak yang hebat dari segi luaran dan dalaman.
            Menurut kamus Dewan Bahasa edisi keempat, perkataan ‘akhlak’ berasal dari bahasa Arab yang merupakan jama’ dari perkataan khuluq’ yang memberi makna budi pekerti, kelakuan dan tabiat seseorang. Falsafah akhlak merujuk kepada disiplin ilmu yang mengkaji serta memepersoalkan pelbagai isu tentang adat, tabiat, sikap dan semua faktor yang mempengaruhi tingkah laku manusia.
            Dewasa kini, kita lihat terlalu banyak kepincangan akhlak dalam kalangan masyarakat terutama golongan remaja. Permasalahan akhlak ini tidak boleh dipandang remeh-temeh kerana ia melibatkan dan mempengaruhi tamadun sesebuah negara. Justeru, pendidikan akhlak merupakan salah satu cara yang boleh diusahakan dan dipraktikkan bagi membentuk serta membina akhlak individu ke arah melahirkan manusia yang cemerlang sahsiah dan peribadi.
           

 2.         BIOGRAFI IBNU MISKAWAYH


Nama sebenar beliau ialah Abu Ali Ahmad Ibn Muhammad Ibn Ya’qub Ibn Miskawayh. Beliau dilahirkan pada tahun 320H/932M di al-Rayy, salah satu tempat di Tehran sekarang dan tinggal menetap di Asfahan. Al- Ray adalah Bandar yang terkenal di Parsi kerana ia melahirkan ramai cendekiawan seperti Muhammad bin Zakaria al-Razi (wafat 320H) dan Fakhr al-Din al-Razi (wafat 606 H). Miskawayh hidup sezaman dengan al-Biruni, Ibn Sina dan Abu Hayyan al-Tawhidi. Beliau meninggal pada 9 Safar 421 H/ 16 Februari 1030 M ketika berumur 98 tahun (Leaman 2006: 96).
Miskawayh hidup pada zaman pemerintahan kerajaan Bani Buwayhid yang memerintah antara tahun 320H hingga tahun 447H. Beliau sangat Berjaya dalam bidang politik dan menjadi setiausaha serta pustakawan kepada wazir al-Muhallabi (340-352 H / 950-963 M), Abu’l Fadl (353-360 H / 951-970 M), Abu’l Fath (360-366 H / 970-976 M) dan akhirnya kepada Sultan Adud al-Dawla (372 / 983) (Leaman 2006: 96).
Beliau dikenali dengan nama Miskawayh atau Maskawayh sahaja, khususnya dalam kalangan sahabat-sahabatnya seperti al-Tawhidi dan al-Sijistani. Para saujana yang menggunakan gelaran Miskawayh ialah Tha’Labi, Abu Hayyan al-Tawhidi, Abu Sulayman al-Mantiq, Abu Bakr al-Khawarizmi, Yaqut al-Hawami, al-Qifti, Ibn Ali Usaybi’ah, al-Zirikli (Leaman 2006: 96).
Selain itu, Ibnu Maskawayh juga diberi gelaran al-Khazin yang bermaksud pustakawan kerana perkhimatannya dalam tempoh yang panjang sebagai pustakawan kepada beberapa orang pembesar Buwayhid (Abdul Kadir 2008: 494).
Miskawayh merupakan ulamak yang banyak memberi sumbangan dalam bidang akhlak. Dalam bidang pemikiran Islam, perbincangan tentang akhlak tidak lengkap sekiranya tidak disebut pandangan beliau. Miskawayh menegaskan, matlamat beliau menulis kitab Tahdhib al-Akhlak adalah dengan tujuan untuk menghasilkan akhlak yang dapat melahirkan perbuatan baik tanpa merasakan satu tekanan atau kesukaran dalam mempraktikkannya. Di samping itu, beliau juga menghasilkan karya dari pelbagai topik seperti sejarah, psikologi dan kimia tetapi dalam bidang falsafah metafizik beliau terpengaruh dengan Neoplatonik. Beliau juga mempelajari dari karya-karya besar Ibnu Tabari dengan Ibnu Kamil yang merupakan pelajar sejarah (Leaman 2006: 96-97).


3.         SUMBANGAN MISKAWAYH DALAM BIDANG ILMU
Miskawayh turut memberi sumbangan besar dalam perkembangan ilmu seperti ilmu agama, falsafah, etika, sastera, kedoktoran, matematik dan sains. Beliau banyak mengkaji pemikiran ahli falsafah lama seperti Aristotle, Plato dan Galen melalui karya-karya terjemahan. Meskipun Miskawayh tidak memahami bahasa Yunani beliau mengakui dalam kitab Tahdhib bahawa pemikiran ahli falsafah Yunani ini diteliti daripada kitab terjemahan Abu Uthman al-Dimashqi, karya al-Kindi seperti kitab Daf’u al-ahzan dan karya al-Farabi. Selain itu,  Miskawayh juga berguru dengan ahli falsafah pada zaman beliau seperti Yahya bin Adi dan Abu Sulaiman al-Mantiqi (Yunasril Ali,1991:54). Ibnu Miskawayh meninggalkan beberapa karya bertulis yang amat berharga antaranya ialah :
1.      Tahzibul-akhlak wa tahthirul a’raq
2.      Tujarib al-Umam wa Ta’aqab al-Hamam
3.      Al-Fauzul al-Akbar
4.      Al-Fauzul al-asghar
5.      Tartib as-Saadah
6.      Risalah fi Mahiyah al-‘Adl
7.      Al-hikmah al-Khalidah (Abdul Qadir 2008: 494).


4.         KONSEP PENDIDIKAN AKHLAK
Definisi akhlak menurut Miskawayh ialah suatu situasi yang wujud pada jiwa setiap individu. Ia menjadi punca kepada semua perbuatan yang dilakukan oleh individu tersebut tanpa melalui proses pemikiran, pertimbangan dan penelitian.
            Akhlak bukan perbuatan yang dilakukan oleh seseorang, tetapi ia merujuk kepada dimensi dalaman yang menyebabkan sesuatu perbuatan itu terjadi. Akhlak ibarat kilang, manakala perbuatan pula adalah produk yang dihasilkan. Jika perbuatan yang dihasilkan adalah baik, maka ini menunjukkan bahawa seseorang mempunyai akhlak ataupun dimensi dalaman yang baik dan begitulah juga sebaliknya.
            Akhlak atau situasi dalaman seseorang boleh menerima perubahan dan boleh dididik menjadi baik kerana ia bersifat responsif terhadap pendidikan, latihan dan disiplin. Malah tujuan utama agama Islam adalah mereformasi akhlak manusia. Sekiranya akhlak merupakan sesuatu yang statik dan tidak boleh diperbaiki, maka sudah tentu nasihat, undang-undang kerajaan, peraturan dan sebagainya menjadi tidak berguna lagi (Mohd. Nasir 2010:112).
            Realitinya, dalam kalangan manusia ada yang berakhlak baik secara semulajadi dan mereka tidak berubah arah ke arah kejahatan. Golongan ini adalah sedikit sahaja. Selain itu, ada juga dalam kalangan manusia yang berakhlak buruk secara semulajadi dan mereka tidak berubah ke arah kebaikan. Golongan ini adalah paling ramai. Namun, ada satu golongan yang yang berada di tengah-tengah dari kedua-dua golongan ini. Mereka ini berubah mengikut siapa orang yang mereka hampiri dan dampingi. Sekiranya mereka bersahabat dengan golongan yang cenderung ke arah kebaikan maka mereka akan berubah menjadi baik dan sekiranya mereka bersahabat dengan golongan yang cenderung ke arah kejahatan, mereka juga akan berubah menjadi jahat (De Boer 1970: 129-130).


5.         TUJUAN PENDIDIKAN AKHLAK
Setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan mempunyai matlamat dan tujuannya yang tersendiri. Justeru, tujuan pendidikan akhlak yang dirumuskan oleh Ibnu Miskawayh adalah terwujudnya sikap batin yang mampu mendorong secara spontan untuk melahirkan semua perbuatan yang bernilai baik sehingga mencapai kesempurnaan dan memperoleh kebahagiaan sejati.


5.1       Kebaikan dan Kebahagiaan
Peranan aspek pendidikan adalah bagi melahirkan individu seseorang yang baik akhlaknya, bahagia dan sempurna. Kebaikan (al-Khairaat) dan kebahagiaan (as-Sa’adaat) merupakan suatu kata subjektif yang saling memerlukan dan melengkapi.
            Kebaikan adalah sesuatu yang telah ditetapkan dianggap baik menurut pandangan orang-orang terdahulu. Setiap manusia inginkan kebaikan dan ia merupakan matlamat akhir setiap orang. Tiap sesuatu matlamat akhir yang memberikan manfaat kepada diri individu dinamakan ia sebagai kebaikan (Miskawayh 1968: 57).
            Kebahagiaan manusia tidak sama dengan kebahagiaan haiwan. Kebahagiaan merupakan tiap sesuatu yang ada padanya kesempurnaan yang telah dikhususkan. Kebahagiaan merupakan segala bentuk kebaikan yang dikaitkan dengan seseorang individu di mana ia telah mencapai kesempurnaannya (Majid Fakhry 1979: 119).

5.2       Mencapai Kemuliaan Akhlak
Manusia yang paling mulia ialah mereka yang paling besar kadar jiwa rasionalnya. Justeru, pendidikan dari sudut jiwa sangat memberi impak kepada kemuliaan akhlak.
Ibnu Miskawayh menggunakan konsep Plato bagi menerangkan tentang sifat jiwa yang bersifat entiti atau zat. Jiwa dapat dilihat berbeza dari jasad dan ia membezakan manusia dengan haiwan dan makhluk hidupan yang lain (Leaman 2006: 97). Jiwa bukan jasad, bukan juga sebahagian dari jasad dan bukan juga benda yang boleh disentuh, sebagaimana hati, akal dan sebagainya. Jiwa adalah bersifat kekal abadi dan bebas mengawal jasad manusia (Majid Fakhry 1991: 108).
Miskawayh menyatakan bahawa jiwa mempunyai pelbagai kekuatan (daya) yang dapat mempengaruhi seseorang manusia melakukan sesuatu perbuatan sama ada perbuatan baik ataupun perbuatan buruk. Antara daya tersebut adalah seperti berikut:
1.      Daya rasional (al-Quwwah al-nathiqah). Daya ini berfungsi melalui organ otak manusia atau lebih sinonim sebagai akal. Dengan daya ini, manusia boleh berfikir, belajar serta menjalankan pelbagai penyelidikan, boleh membezakan antara kebaikan dan keburukan, boleh belajar mengenal Allah dan jalan-jalan yang mendekatkan diri kepada Allah. Daya ini merupakan daya yang paling tinggi dan berakhlak.
2.      Daya marah (al-Quwwah al-ghadhabiyyah). Daya ini bekerja melalui organ hati. Daya marah akan menyebabkan manusia mencaci, memfitnah, dengki, hasad, riak, takabbur, sombong dan banyak lagi akhlak yang hina. Adapun daya marah yang dikawal akan memimpin manusia mencapai akhlak yang mulia seperti adil, pemurah, penyayang dan sebagainya.
3.      Daya syahwat (al-Quwwah al-bahimiyyah atau al-syahwiyyah). Daya ini banyak mempengaruhi manusia supaya tunduk kepada hawa nafsu seperti nafsu makan, nafsu seks, hiburan dan semua jenis keseronokan yang dituntut oleh jasad.

Menurut Miskawayh, daya rasional adalah anugerah Allah yang paling berharga kepada umat manusia. Ia berasal dari Allah, bersifat ketuhanan dan menjadi wakil Allah dalam diri setiap insan. Disebabkan daya rasional, maka manusia layak diberi tugas sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi ini. Kekuatan rasional membolehkan manusia mencapai darjat yang lebih mulia daripada haiwan, malah mampu juga menandingi para malaikat. Manusia dianggap hidup sekiranya daya rasional masih bersamanya dan akan dianggap mati sekiranya daya rasional keluar dari jasadnya (Mohd. Nasir 2010: 123).
Justeru, Miskawayh menyatakan wujudnya perbezaan darjat dalam kalangan umat manusia. Ada yang mulia dan ada juga yang hina kerana masing-masing bertindak berdasarkan kekuatan yang paling kuat menguasainya. Sekiranya seseorang manusia paling kuat dipengaruhi oleh daya rasional, maka individu tersebut akan mencapai tahap kemuliaan akhlak (Mohd. Nasir 2010: 116-117).


6.         LINGKUNGAN PENDIDIKAN AKHLAK
Miskawayh mendakwa bahawa akhlak tidak memadai dengan menguasai ilmu pengetahuan yang tinggi tentang jiwa serta arif dengan pelbagai kaedah untuk mengawal jiwa sahaja tetapi manusia perlu ada reformasi akhlak luaran yang meliputi aspek-aspek seperti pergaulan (association), cinta (love) dan persahabatan (friendship). Aspek-aspek tersebut perlu diterjemahkan dalam kehidupan-kehidupan seharian (Mohd. Nasir 2010: 125).
Menurut Ibnu Miskawayh (1968: 25), kebaikan hanya boleh dicapai melalui persatuan atau sosial. Seorang individu takkan mampu untuk mencapai kesempurnaan seorang diri bahkan mereka memerlukan jemaah atau bilangan kawan yang ramai untuk mencapai kehidupan yang baik dan sentiasa berada di jalan yang lurus.
            Oleh sebab itu, para ahli falsafah mengatakan bahawa sivik seorang individu bergantung kepada keadaan persekitarannya. Setiap individu memerlukan antara satu sama lain di sekelilingnya sebagai keperluan. Jadi, mereka perlu bersikap baik, peramah dan saling sayang menyayangi sesama mereka untuk mencapai kesempurnaan sifat kemanusiaan.
            Ibnu Miskawayh telah menggariskan panduan dalam persahabatan (friendship) dan langkah memilih sahabat untuk kehidupan sosial yang baik. Antaranya :
1.      Seorang individu perlu memilih sahabat dengan betul dan berhati-hati.
2.      Mendekati para sahabat dengan jiwa yang peramah dan penuh pertimbangan serta kawan yang bersedia untuk berkongsi segala kegembiraan dan kesedihan.
3.      Tidak kedekut dengan sahabat-sahabat untuk berkongsi pengetahuan dan kelebihan.
4.      Memberi teguran yang baik atas kesalahannya dan sentiasa mewakilkan diri untuk memberi nasihat (Majid Fakhry 1991: 118-119).
Dengan pilihan sahabat atau jemaah yang tepat akan mudah terbentuk sistem pendidikan akhlak yang efektif dalam kalangan masyarakat kerana manusia mudah terpengaruh dengan orang-orang yang berada di sekelilingnya.
Seterusnya, cinta (love) wujud dalam pelbagai bentuk dan mempunyai banyak pembahagian. Pertama, jenis cinta yang cepat terjalin, tetapi cepat terlerai. Kedua, cinta yang cepat terjalin tetapi lambat terlerai. Ketiga, cinta yang lambat terjalin tetapi cepat terlerai dan keempat ialah cinta yang lambat terjalin serta lambat terlerai.
Jenis cinta terbahagi kepada empat iaitu perasaan suka, hebat, berguna dan gabungan ketiga-tiga jenis ini. Sekiranya cinta berlaku atas perasaan suka, ianya termasuk dalam golongan yang pertama. Sekiranya cinta berlaku atas dasar kehebatan, ianya termasuk dalam golongan kedua. Sekiranya cinta berlaku atas sebab kegunaan, ianya termasuk dalam golongan ketiga. Seterusnya, sekiranya cinta berlaku kerana ketiga-tiga elemen ini, maka akan terhasillah cinta yang lambat terjalin serta lambat juga terlerai (Miskawayh 1968: 123-124).


7.         METODOLOGI PENDIDIKAN AKHLAK
Metodologi sasaran Ibnu Miskawayh adalah pembaikan akhlak individu. Persoalannya, adakah akhlak boleh diasuh menjadi baik? Jawapannya sudah tentu boleh, kerana akhlak atau situasi kejiwaan seseorang tidak bersifat beku atau statik, tetapi responsif terhadap pendidikan, latihan dan disiplin. Ibnu Miskawayh mendakwa bahawa seseorang berpotensi untuk merubah akhlak mereka menjadi baik sama ada dalam jangka masa yang singkat ataupun panjang.
            Namun, tahap kemampuan dan pencapaian manusia dalam menerima pendidikan dan perubahan adalah berbeza. Sesetangah manusia mampu memberi respons terhadap pendidikan dalam masa yang singkat. Sesetengah yang lain pula agak sukar dibentuk dan mereka kekal dalam keadaan yang asal. Manakala kebanyakan manusia berada pada peringkat pertengahan. Mereka memiliki akhlak yang baik dan buruk sekali gus (Mohd. Nasir 2010: 117).
            Pendidikan akhlak mesti bermula dengan mendidik tabiat makan seseorang, kerana tabiat ini dirangsangkan oleh kekuatan syahwat. Selepas itu, sesorang perlu mengawal kekuatan marah yang boleh menyebabkan manusia menjadi tamak, takut, haloba, berani dan sebagainya. Dan akahirnya, seseorang perlu memperkasakan kekuatan rasional (akal) kerana daya ini menarik manusia ke arah cintakan ilmu pengetahuan, kebenaran, kebaikan, kebijaksanaan dan sebagainya.
            Miskawayh juga menyarankan supaya seseorang memulakan sesi latihan akhlak dengan memeriksa pelbagai kelemahan fizikal terlebih dahulu dan seterusnya cuba memenuhi tuntutan-tuntutan asas yang diperlukan oleh jasad. Jasad memerlukan banyak keperluan asasi tertentu untuk terus hidup termasuk makanan, pakaian, kesihatan dan lain-lain. Misalnya, dari segi makanan, sesorang perlu faham bahawa kita mengambil makanan adalah untuk keperluan hidup, bukan untuk kelazatan dan kenikmatan semata-mata (Mohd. Nasir 2010: 120).
            Langkah seterusnya ialah memperkasakan pendidikan rohani ataupun jiwa manusia. Ini boleh dilakukan dengan memperkasakan daya rasional (al-nathiqah) kerana dengan daya mantap ini, manusia layak digelar manusia (insan) malah sesetengah manusia menjadi lebih mulia daripada itu. Sekiranya jasad memerlukan makanan untuk meneruskan survivalnya, aspek rohani juga memerlukan makanannya yang tersendiri seperti ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan untuk melahirkan insan yang kuat lagi perkasa (Mohd. Nasir 2010: 121).
            Miskawayh juga menekankan kepentingan instituisi keluarga, terutama ibu bapa dalam menjana akhlak yang mulia dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Ibu bapa dan keluarga bertanggungjawab melatih anak-anak mereka mengamalkan ajaran-ajaran syariat Islam seperti mengajar mereka menghormati kemuliaan, mencintai kebaikan, berpihak kepada kebenaran serta mengawal anak-anak dalam pergaulan agar bergaul dengan golongan yang baik-baik. (Mohd. Nasir 2010: 119).
Ibu bapa boleh menggunakan pelbagai kaedah pendidikan seperti melakukan proses penderaan sekiranya perlu, atau menegur anak-anak dengan cara berhemah, atau menjanjikan sesuatu perkara yang menyeronokkan serta diminati oleh anak-anak, atau memberi amaran atau denda supaya mereka takut dan gerun.
            Jadi, setelah mereka terbiasa dan telah mengikut proses-proses yang digunakan oleh ibu bapa mereka, mereka akan boleh belajar bukti tentang apa yang mereka ambil dan akan memahami jalan kebaikan (Miskawayh 1968: 32).
           

8.         ANALISA
Sebelum ini, kita telah bincangkan tentang definisi akhlak  menurut Ibnu Miskawayh. Pendidikan dan pembentukan akhlak merupakan suatu perkara yang tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain.
            Bolehkah akhlak seseorang dibentuk melalui pendidikan? Ya, semestinya. Bagi pandangan saya, akhlak melambangkan diri seorang individu itu sama ada dari segi pendidikan ataupun kehidupan sosialnya. Seorang individu yang mempunyai latar belakang pendidikan yang baik kebiasaannya mempunyai akhlak yang mulia (akhlak al-karimah).
            Namun begitu, tidak semua yang mempunyai latar pendidikan yang hebat dihiasi dirinya dengan akhlak yang mantap kerana apabila kita melihat dan memerhati golongan anak muda masa kini, terdapat segelintir daripada mereka telah hilang nilai-nilai akhlak murni dan moral seperti tidak menghormati ibu bapa, para guru dan adab kesopanan juga telah lenyap daripada mereka. Mereka tidak menghiraukan pandangan orang sekeliling. Golongan inilah yang dianggap sebagai pengancam untuk jatuh bangun sesebuah negara. Oleh itu, telah jelas peri pentingnya menjaga dan memelihara akhlak kerana ianya mempengaruhi sedikit sebanyak bidang tamadun. Ibnu Miskawayh juga tampil membincangkan soal jiwa manusia. Jiwa bagi saya sangat memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kerana segala tingkah laku manusia ditapis di bahagian jiwa. Jika elok tapisannya, maka eloklah hasil produk diri individu. Justeru, hakikatnya, jiwa, akhlak dan pendidikan saling bergantung antara satu sama lain.
            Akhir-akhir ini, permasalahan akhlak semakin menular dan serius dalam kalangan masyarakat terutama golongan anak muda. Kejadian pelbagai fenomena keruntuhan akhlak makin banyak disiarkan di media massa. Perlakuan sebegini kita tidak ingin tonjolkan kerana anak muda adalah harapan bangsa, aset negara. Maka, haruslah bagi setiap orang untuk memahami dan menghayati permasalahan ini bersama. Pendidikan akhlak merupakan salah satu wasilah untuk membangunkan ketemadunan manusia.
            Allah mengutuskan para nabi dan rasul untuk mencapai kebahagiaan yang hakiki. Para nabi dan rasul merupakan pendidik dan contoh teladan terbaik. Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Ahzab,21 :

ôs)©9 tb%x. öNä3s9 Îû ÉAqßu «!$# îouqóé& ×puZ|¡ym `yJÏj9 tb%x. (#qã_ötƒ ©!$# tPöquø9$#ur tÅzFy$# tx.sŒur ©!$# #ZŽÏVx. ÇËÊÈ    
Maksudnya : Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah S.A.W itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan yang banyak mengingati Allah .

Pendekatan yang digunakan oleh para nabi dan rasul ialah dengan membimbing manusia ke arah tingkah laku yang baik dan  amalan yang berfaedah.
            Ibnu Miskawayh menjelaskan bahawa orang tua tetap merupakan pendidik yang pertama bagi anak-anaknya. Bagi seorang pendidik, mereka bertanggungjawab untuk membimbing jiwa manusia agar mencapai kemuncak kebahagiaan. Oleh itu, sebagai anak didik, mereka perlu memberi penghormatan dan pemujaan sama taraf dengan Tuhan kepada para pendidik. Pendidik menjadi “a spiritual father and a human lord” (Majid Fakhry 1991: 118).
            Keberhasilan pendidikan akhlak menerusi pendidik dan anak didik adalah kerana kasih sayang antara kedua-duanya (Majid Fakhry 1991: 118).


9.         PENUTUP
Kesimpulannya, Ibnu Miskawayh merupakan seorang tokoh falsafah hebat yang membawa falsafah akhlak sebagai falsafah utamanya. Namun begitu, pemikiran beliau juga meluas dan bukan tertumpu kepada falsafah akhlak semata-mata. Tujuan seorang individu menjaga akhlaknya adalah untuk mencapai kebahagiaan (as-sa’adaat) dan kebaikan (al-khair) sepanjang hidupnya.
Ibnu Miskawayh menyatakan bahawa akhlak adalah suatu benda yang tidak statik dan ia boleh menerima sebarang perubahan sama ada ke arah kebaikan ataupun ke arah keburukan melalui pelbagai cara seperti pergaulan, pendidikan, nasihat, undang-undang dan lain-lain.
Miskawayh menyatakan objektif ilmu akhlak adalah untuk menempa sesuatu disposisi yang baik dan sempurna dalam jiwa seseorang. Pendidikan memainkan peranan yang cukup penting dalam pembentukan akhlak seseorang. Pendidikan akhlak bermula dari pendidikan jiwa. Maknanya, untuk mencapai tahap akhlak yang tinggi dan mulia, seorang individu pertamanya haruslah melakukan proses penyucian jiwa (tazkiyah al-nafs).
Bagi mencapai kemuliaan akhlak, seorang individu perlu menitikberatkan tentang pembahagian daya iaitu al-Quwwah al-Natiqah, al-Quwwah al-Bahimiyyah dan al-Quwwah al-Sabu’iyyah.
Ibnu Miskawayh juga menekankan bahawa seorang individu takkan mencapai kebahagiaan dan kebaikan seorang diri. Walaubagaimana cara sekalipun, setiap individu perlu bergerak bersama dengan individu yang lain atau secara lebih mudah, berada dalam satu jemaah yang besar. Selain itu, pendidikan akhlak boleh dilakukan dengan pelbagai cara mengikut kesesuaian ke atas anak didik sama ada dengan menggunakan cara yang berhemah ataupun cara yang sedikit keras.
Di samping itu, Ibnu Miskawayh menggalakkan seorang individu untuk berada di sekeliling orang yang baik kerana akhlak juga boleh terpengaruh dari tingkah laku orang di persekitaran kita.
           


RUJUKAN

Al-Quran al-Kareem. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. T.th. Kuala Lumpur:
Pustaka Darul Iman Sdn. Bhd.
Abdul Qadir, Mahmud al-Bakar. 2008. ‘Ilm an-Nafs fi al-Turath al-Islami.
Al-Kaherah: Dar al-Salam.
Ahmad Sunawari, Long. 2008. Sejarah Falsafah. Malaysia: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.
De Boer,T.J. 1970. The History of Philosophy in Islam. London: Luzac & Company LTD.
Leaman, O. 1993. History of Islamic Philosophy. London & New York: Routledge.
Leaman, O. 2006. The Biographical Encyclopaedia of Islamic Philoosophy. London: t.pt.
Majid Fakry. 1970. A History Islamic Philosophy. London & New York:
Columbia University press.
Majid Fakhry. 1979. Al-Fikr Al-Akhlaqi Al-‘Arabi. Beirut: al-Ahliah lil Nashr wa Tauzi’.
Majid Fakhry. 1991. Ethical Theories in Islam. Leiden: E.J. Brill.
Miskawayh, Ahmad Ibn Muhammad bin Ya’kub. 1968. Tahdhib Al-Akhlak. Beirut:
TheAmerican University of Beirut.
Mohd. Nasir, Omar. 2010. Falsafah Akhlak. Malaysia: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Yunasril Ali. 1991. Perkembangan Pemikiran Falsafah Dalam Islam. Jakarta: Bumi Aksara.

moga memberi manfaat kepada pembaca ^^
moga akhlak kita juga tiptop!

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih sudi komen disini.
kalau ada masa,sudi-sudilah komen lagi :)

SEOUL, Korea (Part III)

Assalamualaikum. Anneyonghaseyo! bersambung dari Part I dan Part II mulakan pagi dengan banana uyu. satu ni 1200 won, kalau sini arou...